Hantu Penanggal atau juga dikenali sebagai
hantu tengelong di negeri Kedah merujuk kepada seseorang, biasanya
wanita, yang menuntut ilmu hitam bagi sesuatu kepentingan. Mereka yang
menuntut ilmu ini mampu menceraikan kepala dengan badan mereka dan
kepala mereka mampu terbang dengan tali perut terurai-urai. Darah yang
menitik dari tali perut mereka dipercayai berbisa dan akan menyebabkan
kudis kepada mereka yang terkena. Mereka yang menuntut ilmu penangalan
biasanya akan menyimpan setempayan cuka bagi memeram urat perut mereka
agar kecut sebelum bercantum masuk kembali kedalam badan asal mereka.
Dipercayai sekiranya tubuh mereka dijumpai orang dan diterbalikkan,
kepala mereka akan bercantum secara terbalik, dengan itu rahsia mereka
akan terbongkar.
Penangalan dipercayai suka darah perempuan yang bersalin, dan sekiranya
mereka menghisap darah tersebut, wanita bersalin itu akan mati akibat
tumpah darah. Oleh itu, biasanya disekeliling rumah wanita bersalin
(masa dahulu, rumah dibina bertiang), diletakkan sejenis daun yang
berduri. Dipercayai penanggalan takut hendak mendekati rumah tersebut
kerana bimbangkan tali perutnya tersangkut kepada duri tersebut.
Ketika penanggalan terbang, ia dipercayai berupa cahaya putih berkilauan, dari urat perut mereka yang terburai itu.
Hantu Penanggalan dikatakan dituntut oleh seseorang wanita bagi
membantunya mengekalkan kecantikannya, membunuh musuhnya, menjaga
tanaman / peliharaan daripada pencuri dan lain-lain.
Hantu Penanggal dikenali Manananggal atau wakwak dalam masyarakat
Filipina. Hantu ini menyerupai pontianak dalam budaya masyarakat barat.
Ia makhluk makan manusia dan ahli sihir yang jahat. Mitos Manananggal
popular di wilayah Visayas di Filipina, terutama di provinsi barat
Capiz, Iloilo dan Antique.
Manananggal dikatakan takutkan bawang putih dan garam. Makhluk ini juga
dikatakan mengelakkan diri dari pisau belati, cahaya, cuka, rempah-ratus
dan ekor ikan pari-pari yang dibuat sebagai cemeti. Makhluk yang sama
juga dikatakan boleh ditemui di Indonesia. Berbeza dengan hantu
Penanggalan di Malaysia, versi Filipina adalah wanita yang lebih tua
tetapi cantik dan mampu menanggalkan badan bukan hanya kepala sahaja.
Tetapi, kami difahamkan sekarang banyak pengamal ilmu penanggal ini
kurang berminat dengan ilmu ini kerana mereka kuatir apabila mereka
terbang dengan isi perut yang berjuntai itu akan terkena renjatan
elektrik. Maklum la sekarang kan banyak tiang elektrik.