Leher Aaron Aziz senget, dirawat di Pusat Perubatan Prince Court


Pelakon Aaron Aziz kini berada dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, kelmarin, selepas mengadu sakit pada bahagian leher.

Menurut isterinya, Diyana Halik, yang juga pengurus artis berkenaan, suaminya mula berasakan kesakitan pada lehernya sejak seminggu lalu.

“Bagaimanapun, dia sanggup menahan kesakitan itu kerana mahu menyelesaikan penggambaran sebuah telefilem. Namun, apabila kesakitan itu menular sehingga ke bahagian tangan dan jari sebelah kirinya menjadi kebas, saya terus membawanya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, Aaron didapati mengidap penyakit Cervical Facet Arthritis pada bahagian leher menyebabkan ia senget sebelah serta tidak boleh banyak bergerak pada bahagian terbabit,” jelas Diyana menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada HIP, semalam – Bharian Online