Tasha Shilla Kecewa Terpalit Isu Tangkap Khalwat Pemain Bola


Pelakon Tasha Shilla kecewa apabila dituduh sebagai pasangan yang ditangkap khalwat dengan seorang pemain bola sepak baru-baru ini. Tasha, 26, berkata, perkara tersebut adalah tidak benar dan sangat memalukan dirinya dan keluarga.


“Saya sedih dan kecewa bila orang mengaitkan saya dengan isu pemain bola sepak yang ditangkap khalwat hanya kerana saya berkawan dengan Mahali Jasuli.

“Ketika mendengar tentang khabar angin itu saya sangat terkejut dan nasib baik ibu bapa saya tahu saya berada dimana ketika itu dan faham dengan situasi tersebut,” katanya kepada mStar Online.

Tasha ditemui pada majlis peragaan busana ceongsam The Weld Oriental Rhapsody melibatkan pereka fesyen terkenal seperti Bill Keith, Keith See, Shanghai Sin, Ms Chinese Cosmos dan penaja barang kemas Raflessia di The Weld, pada Selasa lalu. Tambah Tasha, dia tidak mahu dikaitkan dengan apa-apa kontroversi termasuk prestasi pemain bola sepak Harimau Malaya itu yang dikatakan semakin merudum sejak bercinta dengannya.

Mahali Jasuli
Mahali Jasuli

“Dari awal lagi saya dah nyatakan yang saya hanya berkawan dengan Mahali. Saya sokong dia sebagai kawan, bukan teman istimewa.

“Kenapa mahu libatkan saya kalau dia tak beraksi cemerlang? Kenapa bila dia tunjukkan prestasi cemerlang, tidak pula orang sebut nama saya, itu kena tanyalah pada jurulatih dia, Rajagobal,” katanya.

Tambah Tasha, dia kini lebih selesa menganggap hubungannya dengan pemain bola sepak itu sebagai kawan dan tidak lebih daripada itu.