Siti Nurhaliza Lelong Tudung


Siti Nurhaliza Lelong Tudung - PASTI ramai yang mahu bergaya dengan mengenakan tudung yang serupa dengan penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, atau paling tidak pun untuk memakai tudung yang pernah digayakan oleh bintang tersohor negara itu.

Hasrat itu bakal direalisasikan menerusi jualan lelong dua helai tudung yang dipakai oleh Datuk Siti Nurhaliza menerusi Malam Amal Tahajjud Cinta yang bertempat di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 30 Januari tahun depan.


Bukan calang-calang jualan kerana tudung pertama yang akan dilelong merupakan rekaan khas pereka tudung dan busana Muslimah terkenal, Fareeda yang direka eksklusif hanya untuk Siti.

Kata Siti yang teruja menantikan majlis tersebut, tudung yang digayakan itu bertepatan dengan citarasa dirinya. Siti sangat menyenangi tudung yang selesa dipakai.

“Tudung warna merah hitam ini selesa dipakai dan rekaannya juga ringkas serta senang digayakan. Untuk tudung kedua yang akan dipakai pada majlis tersebut lebih bercirikan elegan dan glamor. Mungkin juga tudung kedua akan direka sendiri oleh saya,” ujarnya pada sidang akhbar Malam Amal Tahajjud Cinta di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tudung yang dipakai oleh penyanyi lagu Muara Hati itu sangat istimewa kerana selain rekaannya yang eksklusif, ia juga bertatahkan batu permata swarovski serta diperbuat daripada fabrik sifon. Ujar Siti, harga permulaan lelongan masih belum ditetapkan.

Selain lelongan tudung tersebut, malam amal yang bertujuan mengutip dana melalui penjualan meja makan bermula dari lingkungan harga RM10,000 hingga RM35,000 untuk disalurkan kepada dua buah pertubuhan kebajikan iaitu Yayasan AIDS Malaysia dan Yayasan Ihtimam Malaysia untuk membangunkan program pendidikan, pencegahan, rawatan, penjagaan dan sokongan kepada pesakit HIV dan AIDS.

Pembabitan Siti menerusi program Selebriti Sokongan Riben Merah Yayasan AIDS Malaysia bermula sejak tahun 2009.

Khusus untuk majlis yang bakal dihoskan oleh aktor Fahrin Ahmad itu, Siti bakal mendendangkan beberapa buah lagu berkonsepkan kerohanian yang turut dipetik daripada album Tahajjud Cinta (2009) dalam durasi masa yang diperuntukkan selama 30 minit.

“Turut membuat persembahan pada malam itu nanti ialah kumpulan Mohram dan beberapa rakan artis, manakala susunan muzik pula diberikan nafas baharu oleh Aubrey Suwito,” katanya yang bakal berangkat ke Indonesia pada 9 Disember ini untuk konsert Ekspresi Gemilang di Jakarta, Pekan Baru dan Banjar Masin, Indonesia.

Selain itu, majlis akan diserikan dengan pertunjukan koleksi tudung Fareeda yang merupakan penaja utama majlis Malam Amal Tahajjud Cinta.

Ujar Pengurus Pemasaran Fareeda merangkap jurucakap produk itu, Mawar Aminuddin, pihaknya menyandarkan harapan tinggi untuk mendapatkan sebanyak mungkin sumbangan menerusi penjualan meja dan lelongan tudung.

“Kami sasarkan untuk mengumpul lebih RM500,000 dana untuk disumbangkan kepada badan-badan kebajikan terbabit dan berharap agar usaha tanggungjawab sosial korporat ini mendapat sokongan ramai,” ujarnya.

Pembelian meja, tempahan dan sumbangan penajaan untuk Malam Amal Tahajjud Cinta pada 30 Januari 2013 telah mula dibuka kepada syarikat, korporat atau individu yang berminat.

Keterangan lanjut hubungi Jasmin Jalil di talian 03-4047 4311/4277.