Jika satu ketika dulu, Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah
Saifuddin, 41, asyik dibuai populariti hingga adakalanya jarang
melengkapkan sembahyang lima waktu, tapi kini segalanya sudah berubah.
Selepas mendapat hidayah Allah, dia akan pastikan kewajipan itu dapat
dilaksanakan walau sesibuk mana sekalipun.
"Sebagai manusia, banyak kekurangan yang saya miliki kerana sibuk dengan
hal-hal dunia dan sepanjang 17 tahun berada dalam industri seni,
kadang-kadang saya lupa terhadap kewajipan saya.
"Tetapi sejak pulang daripada mengerjakan Umrah buat kali keempat, hati dan fikiran saya sudah mula berubah.
"Saya memastikan diri ini tidak tinggalkan solat dan seandainya terlepas
dengan tidak sengaja, saya akan qada semula. Selebihnya saya serah
kepada Allah," katanya yang pada media.
Tambah pelakon itu, imej bertudung tidak pernah menyekat rezeki
sebaliknya rezeki makin bertambah apabila beliau dilantik menjadi duta
produk Cosry Skin Therapy.
"Kalau nak tahu, saya menandatangani kontrak dengan pihak Cosry sebelum
bertudung dan Alhamdulillah apabila bertudung, mereka tetap menerima
imej baru saya ini.
"Dan saya berpendapat, apabila kita melakukan perubahan kerana Allah,
sudah pasti rezeki kita sentiasa ada dalam apa-apa situasi sekalipun
asalkan kita rajin berusaha," ujarnya yang turut menasihati artis-artis
bertudung lain agar tidak berputus asa.