Pembunuh upahan dikenali sebagai Jian atau digelar Si Empat Mata (Sei
Ngan Chai) yang amat dikehendaki polis selepas terbabit menembak mati
pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (AMBANK) Hussain Ahmad
Najadi, 75, pada 29 Julai lalu berjaya ditangkap polis di sebuah rumah
di Taiping, Perak, dekat sini, malam tadi.
Lelaki itu berusia 44 tahun yang juga suspek utama kes pembunuhan
Hussain Ahmad Najadi berjaya ditangkap kira-kira jam 12.30 malam selepas
bersembunyi di sebuah rumah di Taman Larut Tin Tambahan, Taping, Perak,
dekat sini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kejayaan menangkap
suspek terbabit selepas polis mengeluarkan maklumat berkaitan lelaki itu
di media massa dan hasil maklumat daripada orang awam serta risikan
yang dijalankan.
Menurutnya, selain itu, pihaknya turut menahan dua lelaki di kediaman
terbabit berusia 26 dan 31 tahun kerana disyaki memberi perlindungan
kepada suspek.
“Kesemua mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kita sedang mengesan senjata api
yang digunakan suspek untuk membunuh mangsa,” katanya kepada pemberita
pada sidang media di Pusat Media IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Khalid berkata, dua rakannya yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 212 Kanun Keseksaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas maklumat orang ramai dan
usaha gigih Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kuala Lumpur membuahkan
hasil apabila berjaya menangkap suspek utama kes pembunuhan ini,”
katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan pengasas AMBANK Hussain Ahmad
Najadi, 75 ditembak seorang lelaki di sebuah tokong Cina di Jalan Ceylon
menyebabkan beliau maut di tempat kejadian selepas terkena dua tembakan
di dada dan rusuk kiri.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, isteri Hussain, Cheong Mei Kuen, 49,
turut ditembak menyebabkan beliau cedera dan dirawat di Hospital Tung
Shin.
Sumber: Harian Metro