Kenyataan Media
3 September 2013
Harga Petrol dan Diesel Naik Selepas PRU13 Sudah Dijangka
Solidariti
Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini menyelar tindakan kerajaan yang
menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen ketika rakyat mencari
nafas setelah berbelanja di perayaan Aidilfitri. SAMM menyifatkan
kenaikkan ini adalah rentetan bahana terhadap rakyat setelah ditipu pada
pilihanraya umum yang lalu.
Kenaikkan
harga petrol dan diesel ini juga adalah angkara sikap kerajaan yang
terlalu boros untuk meneruskan survival ketika dalam usaha mengekalkan
pemerintahan. Lihatlah bagaimana mereka membeli undi, melaburkan wang
untuk tipu helah tertentu hingga menang dan turut digelar kerajaan 'undi
pos'.
Tawaran
harga petrol lebih murah oleh Pakatan Rakyat pada pilihanraya lalu
sebenarnya telah mempengaruhi orang ramai untuk melihat Barisan Nasional
tumbang, menjangkakan penurunan 50sen sejurus selepas diumumkan Pakatan
Rakyat menang. Namun malangnya penipuan pilihanraya telah menafikan hak
rakyat untuk menikmati harga petrol lebih murah, malah hari ini
dinaikkan pula sebanyak 20 sen oleh kerajaan '47 peratus'.
Musibah
ini telah dijangkakan berlaku sekiranya Barisan Nasional menang PRU.
Lihatlah bagaimana Paklah menaikkan harga minyak kira-kira 3 bulan
selepas Pilihanraya Umum 2008 walaupun telah berjanji harga petrol tidak
naik dalam tahun yang sama, kini penipuan seperti ini diulang semula
oleh Najib Razak walaupun Najib sendiri menengaskan harga petrol tidak
akan naik selepas PRU.
Alasan
kenaikkan harga minyak global dan alasan harga minyak negara murah
berbanding negara lain adalah tidak relevan sama sekali. Ini kerana
sebagai negara pengeksport minyak, sebarang kenaikkan harga minyak dunia
harusnya memberi kelebihan kepada negara pengeluar. Membandingkan harga
minyak kepada negara serata asean adalah tidak memadai, harus dibanding
dengan negara pengeluar minyak dan lihatlah bagaimana harga petrol di
Malaysia jauh lebih tinggi.
Kenaikkan
harga petrol akan menyebabkan rakyat terkesan dan sedikit tertekan,
tetapi apabila kenaikkan harga petrol diiringi kenaikkan harga diesal
adalah satu kecelakaan kepada setiap rakyat dalam negara ini. Pastinya
semua harga barang keperluan akan meningkat dan perbelanjaan bulanan
rakyat juga akan melambung. Rakyat yang terbeban dihimpit kesempitan
hidup, akan terus 'mengemis' sesuap bantuan kerajaan.
Kononnya
pengurangan subsidi demi rasionalisasi? Apakah mengekalkan subsidi 19
bilion untuk kroni pengusaha IPP setiap tahun itu cukup rasional? Nasib
puluhan juta rakyat tidak dipeduli tetapi beberapa kerat konglomerat
kaya raya dijaga rapi.
Apakah
segala kenaikkan ini tidak cukup untuk bangkitkan kemarahan rakyat?
Jika di Brazil, hanya kerana tambang bas naik 10% memperlihatkan
penentangan jutaan rakyatnya. Kita di Malaysia harus tunjuk kekuatan
rakyat atau terus ditindas. Sedarlah bahawa Barisan Nasional mempunyai 5
tahun lagi untuk merodok rakyat sebelum PRU14 menjelma.
Justeru,
untuk setiap rakyat yang ingin meluahkan kemarahan masing-masing, SAMM
dan rakan sekutu menyediakan pentasnya. Bermula petang ini, satu aksi
flashmob akan berlangsung di Dataran Merdeka diketuai oleh APBM, Geng
Kotak dan SAMM Wilayah bersama kumpulan aktivis mahasiswa dan anak muda.
Ayuh semua kita tunjukkan kuasa rakyat, biarkan flashmob petang ini
menjadi 'domino' kebangkitan rakyat.
Amaran
SAMM buat kerajaan, jika berdegil untuk tidak menurunkan semula harga
petrol dan diesel, satu demonstrasi besar akan dikerahkan pada Oktober
nanti. Kuasa rakyat jangan dipandang enteng, rakyat bersatu tidak akan
dikalahkan!
EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)