Drama gandingannya bersama aktres Rita Rudaini itu ditayangkan di saluran 134, Astro Mustika HD.
Bukan sahaja dituduh demand soal bayaran malah, aktor kelahiran Singapura itu juga dituduh cerewet dalam pemilihan naskhah dan juga lokasi penggambaran.
Bertemu dengan Adi secara eksklusif ketika dia menjalani penggambaran filem Suami Aku Ustaz di penjara Balai Polis Bandar Hilir, Melaka baru-baru ini, Adi tenang menjawab mengenai perkara tersebut.
“Secara peribadi penulisan wartawan itu (bukan akhbar Kosmo!) menuduh saya sedemikian rupa agak kelakar.
“Apa yang boleh saya ucap adalah terima kasih dan bersyukur kerana menjadi orang yang terpilih untuk dibukakan aib.
“Mungkin Allah menjanjikan saya adalah orang yang berjaya nanti setelah aib dibuka,” ungkapnya sambil menghelakan nafas yang panjang.
Menitipkan lagi kata-kata tersurat daripada bibirnya, kata Adi, wartawan akhbar tersebut sengaja mahu menjatuhkan kredibiliti dirnya dengan mengeluarkan cerita tanpa bertanya terlebih dahulu dengannya.
Tidak mahu menafikan ataupun mengiyakan mengenai tuduhan tersebut, jelas Adi, dia tidak berasa kecil hati dengan tuduhan itu kerana jika dia jujur orang tetap membuat pelbagai andaian.
“Kalau saya mahu balas tuduhan tersebut juga tidak guna. Buat penat saja. Seolah-olah kita mahu menegakkan kebenaran yang tiada kesudahan.
“Apa yang penting saya percaya peminat saya dan mereka juga sentiasa menyokong dan percayakan saya,” ujarnya yang sedar rezekinya bukan di tangan orang sebaliknya Tuhan.
Tidak mahu peminat dibelenggu rasa keliru akan kenyataannya, Adi turut mengakui bahawa dirinya memang seorang yang demand, tetapi ada batas dan had sempadannya.
Luahnya: “Demand itu sebenarnya baik. Demand itu baik jika kita sudah bekerja sehari suntuk dan memberikan yang terbaik dalam lakonan.”
Ditebak sama ada dirinya sudah berubah berbanding dirinya pada awal bidang lakonan dulu, jelas aktor berusia 32 tahun itu, biarlah orang yang menilainya.
Pada pendapatnya, Adi memberitahu, memang dia berubah tetapi berubah menjadi yang lebih baik.
Sudah 11 tahun berada dalam industri seni, Adi disoal mengenai definisi popular bagi dirinya.
Ungkapnya, untuk menjadi popular itu senang tetapi untuk membawa gelaran popular itu sukar. Sebabnya, kita perlu jaga dalaman diri agar sentiasa tidak lupa diri mahupun terlepas pandang walaupun hal-hal kecil.
Berkongsi perasaan teruja mengenai filem arahan pertamanya bersama pengarah Ghaz Abu Bakar, ujar Adi, dia berasakan dirinya seorang pemikir dan lebih bertanggunjawab selepas duduk di kerusi pengarah.
“Sebelum ini saya hanya berlakon. Jadi, fokus saya hanya berlakon. Filem Suami Aku Ustaz ini menuntut saya berlakon dan juga mengarah. Saya perlu menjaga setiap aspek agar penghasilan filem ini sempurna,” ujarnya mengenai filem yang mengambil masa selama 20 hari penggambaran itu.
Bukan niat menyindir
Mengulas mengenai pemilihan novel Suami Aku Ustaz untuk dijadikan filem, dedah Adi, dia ada membaca novel itu dan berasakan novel itu menarik kerana ia menerapkan unsur islamik.
Bukan berniat untuk menyindir ataupun mengajar golongan ustaz, Adi sedar, peranannya sebagai ustaz dalam filem itu sekadar lakonan bukan menjurus kepada sesiapa.
SELEPAS duduk di kerusi pengarah, Adi mengaku dia kini lebih cerewet berbanding dahulu. “Dalam filem Suami Aku Ustaz saya bawa watak seorang ustaz yang melalui peralihan imej. Bermula imej dia seorang yang bermisai dan berpakaian kemas menjadi seorang yang lebih ranggi memakai kaca mata hitam, memakai jaket dan menunggang motosikal besar.
“Perubahannya disebabkan dia berkahwin dengan wanita yang lebih muda iaitu berusia 17 tahun. Jadi, dia perlu serasikan imejnya dengan isterinya. Bukan berniat untuk mengajar atau diskriminasikan golongan ustaz,” ulasnya lagi yang gentar akan watak ustaz yang digalasnya.
Bercerita mengenai cabaran mambawa watak Ustaz Hafiz, ujar Adi, perkara utama yang diutamakan adalah bagaimana dia mampu menyakinkan penonton bahawa dirinya adalah ustaz tanpa mengenakan pakaian seperti ustaz.
Ujarnya, untuk itu dia perlu mengubah cara percakapan dan juga menggunakan bahasa tubuhnya tanpa memerlukan dia berpakaian seperti ustaz.
Disoal sama ada dirinya begitu cerewet dari segi pengarahan kerana ia adalah pertama kali bagi dirinya, ulas Adi, dia perlu cerewet supaya hasil filem itu sempurna.
“Memang saya fokus betul-betul mengarahkan filem ini. Kena cerewet kalau tidak bila hasilnya tidak akan sempurna. Sifat cerewet itu bagus kalau ia kena dengan tempatnya atau dari sudut positif,” ungkapnya.
Berkongsi sedikit tentang anak angkatnya Zara Adelia yang kini sudah menginjak usia tujuh bulan. Kata Adi, Zara sudah pandai gelak dan sudah pandai menapak untuk berdiri.
Ujarnya lanjut, buat masa ini Zara dijaga sepenuhnya oleh isterinya iaitu Zuhaida Yusof, 38.
Jelasnya, walaupun sibuk dengan penggambaran filem Suami Aku Ustaz, namun dia sentiasa memastikan akan meluangkan masa bersama anaknya itu.
Adi juga memberitahu, turut membawa Zara ke lokasi penggambaran dan tidak kisah jika anaknya itu mengikut jejak langkahnya sebagai pelakon kelak.