Selama ini ketika kita berhenti di lampu
isyarat, pernahkah anda terfikir kenapa warna lampu isyarat di seluruh
negara ialah merah, kuning dan hijau?
Pada permulaannya, lampu isyarat digunakan untuk keretapi dengan warna
merah sebagai berhenti, hijau sebagai berhati-hati dan putih ialah
bergerak. Namun, ia memberikan masalah apabila bekas warna lampu isyarat
tertanggal yang menyebabkan pemandu keretapi mengangap isyarat sebagai
putih iaitu bergerak. Keadaan di waktu malam juga berbahaya kerana ada
yang tersilap melihat bulan penuh sebagai lampu putih dan sukar dilihat
pada siang hari.
Akhirnya lampu isyarat di jalan raya diperkenalkan dengan warna merah
dan hijau sahaja di London pada 1868 dengan menggunakan lampu gas. Ia
diperkenalkan oleh J.P. Knight dan dibina oleh syarikat jurutera
keretapi Saxby & Farmer. Namun, lampu ini mudah meletup dan
mengakibatkan polis yang mengawal lampu isyarat cedera. Oleh itu, lampu
isyarat tidak digunakan sehinggalah lampu isyarat beroperasi menggunakan
mentol elektrik.
Lampu isyarat elektrik dibina pada 1912 oleh Lester Wire, seorang
anggota polis di Amerika Syarikat dengan menggunakan warna merah dan
hijau. Akhirnya warna kuning ditambah bagi memberi maksud berhati-hati
serta mengatasi masalah lampu putih yang mudah mengelirukan pemandu.
Pada 1923, Garrett Morgan mempatenkan versi lampu isyaratnya yang
akhirnya dibeli oleh syarikat General Electric dengan harga USD 40 000.
Pada masa ini, lampu isyarat telah dipertingkatkan dengan menggunakan
lampu LED yang lebih jelas dilihat dan lebih tahan berbanding lampu
mentol dengan skrin berwarna yang akan luntur warnanya. Lampu isyarat
berwarna merah juga ditambah sedikit warna oren dan hijau ditambah
sedikit warna biru bagi membantu pemandu yang buta warna.