GEORGETOWN:
Polis mengesahkan lima lelaki yang mati dalam kejadian berbalas tembak
dengan polis di Sungai Nibong di sini awal pagi tadi terbabit dalam
beberapa jenayah senjata api.
Ketua
Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata mereka yang mati dikenali
sebagai J Gobinath, 31, R Ramesh, 27, A Vinut, 23, M Suresh, 25, dan M
Gobinath, 21.
Polis
juga menemui tiga pucuk pistol yang digunakan oleh penjenayah terbabit
iaitu jenis Noricho berwarna perak, Revolver .38 berwarna perak dan
Walther PPK berwarna hitam.
Kesemua mereka mempunyai alamat terakhir di negeri ini.
Beliau
berkata para penjenayah terbabit dapat ditumpaskan hasil maklumat awam
dan risikan apabila sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan
Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Siasatan Khas (D9) Pulau Pinang dengan
bantuan JSJ D9 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta D9 Kedah menyerbu
sebuah apartmen sewaan di Century Bay di Sungai Nibong pada jam 4.30
pagi.
Menceritakan
detik serbuan itu, Abdul Rahim berkata pasukan polis telah mengetuk
pintu sebuah unit di apartmen itu dan memperkenalkan diri, tetapi tidak
mendapat sebarang jawapan dari penghuninya menyebabkan polis terpaksa
memecah pintu sebelum memasuki unit berkenaan.
"Sejurus
menyerbu masuk, penghuni di dalam rumah itu terus melepaskan tembakan
bertalu-talu dan berlaku kejadian berbalas tembakan antara mereka dengan
polis.
"Setelah
selesai berbalas tembakan dan tiada lagi berlaku ancaman, polis membuat
pemeriksaan di dalam apartmen tiga bilik itu dan menemui lima lelaki
mati di dalam bilik-bilik berasingan," katanya.
Polis masih menjalankan pemeriksaan di dalam apartmen berkenaan.