Walaupun sudah beberapa bulan berlalu namun kisah mengenai gambar intim model bertaraf antarabangsa, Nasha Aziz, 42, bersama seorang jejaka sewaktu di sebuah konsert sempena sambutan malam tahun baru yang lalu, masih hangat diperkata ramai. Bertebaran gosip mendakwa jejaka itu adalah Nur Iman Tang (Iman Tang), lelaki yang pernah dikaitkan dengan selebriti jelita ini, satu ketika dulu.
Bertemu dengan Nasha pada majlis pertunjukkan fesyen sempena pelancaran perisa terbaru ais-krim Magnum, Malaysian Digest.com berkesempatan bertanyakan kepada empunya badan mengenai sejauh mana kebenaran dakwaan cintanya bersama lelaki itu kini kembali bertaut.
“Oh, tentang gambar itu, sudah lama. Kebetulan dia ada terlibat dengan konsert itu. Saya pula suka tengok konsert, jadi kami pergi bersama.
“Antara kami tidak pernah ada ikatan apa-apa, jadi tidak timbul soal saya kembali semula pada dia dan sebagainya. Perhubungan kami adalah sebagai teman rapat. Kawan adalah kawan. Saya mempunyai ramai kawan dan dia salah seorang teman rapat saya”, katanya Nasha Aziz.
Manakala mengulas pula tentang aksi mereka sewaktu di konsert tersebut yang dilihat cukup mesra bagaikan pasangan kekasih, kata pelakon yang pernah membintangi filem Laila Isabella ini,
“Tentang itu? Saya memang suka orang mengambil berat dan menyayangi saya. Saya enjoy dengan orang di sekeliling saya”, ujarnya.
Nasha juga mengakui dia kini masih solo dan seorang yang cukup memilih baik soal percintaan mahupun hal-hal yang berkaitan dengan kariernya.
“Saya masih solo. Memang saya seorang yang memilih. Itu memang prinsip saya seajk dari dulu. Kalau nak kata ‘mr. right now’, memang banyak… tapi kalau ‘mr. right forever’, setakat ini saya belum jumpa lagi”, katanya dengan nada bergurau. - MD