
KUALA LUMPUR – “Keadaan Adi sekarang 
stabil dan perlu berehat kerana masih mengalami kesakitan. Dia menjalani
 pembedahan yang dijadualkan pada jam 9.30 pagi esok (hari ini),” kata 
Aida Yusof, isteri kepada aktor popular Adi Putra.
 
Pagi semalam, peminat dikejutkan dengan 
paparan gambar dari akaun Instagram Aida yang memuatkan gambar suaminya 
di dalam ambulans. Adi yang baru tiba dari Surabaya, Indonesia terus 
dibawa ke hospital selepas mengadu sakit dan doktor mengesahkan dia 
menghidap kencing berdarah dan batu karang.
“Sebelum ke Surabaya, Adi sudah mengadu sakit dan sudah dibawa ke Hospital Prince Court,” katanya.
Bagaimanapun, dia terpaksa ke Surabaya kerana menjalani penggambaran video klip.
“Tetapi kemudian dia menghubungi saya 
dan memberitahu keadaan sakitnya semakin teruk dan terus dibawa ke 
hospital sebaik tiba di sini,” katanya. – Harian Metro